Matlamat penubuhan laman blog ini adalah sebagai medan perkongsian dan perbincangan mengenai isu-isu semasa serta pusat saluran maklumat terkini berkenaan perkembangan pergerakan Pemuda IKS. Setiap ulasan yang dibuat mengenai apa jua topik hendaklah dilaksanakan secara matang dan profesional. Pemuda IKS akan menapis sebarang ulasan yang tidak bernas dan tidak membina untuk menjaga nama baik laman blog ini. Terima kasih di atas kerjasama semua pengunjung.

Peti Suara


30 November 2008

Manifesto BERANI BERUBAH!

1. Meremajakan dan meramaikan keahlian UMNO melalui pendaftaran ahli yang berkesan. Maksudnya kita tidak lagi boleh menyekat mana-mana pihak yang terbuka hatinya untuk bersama dalam perjuangan UMNO walaupun dilihat mereka berkaliber untuk menyaingi kita diperingkat cawangan mahupun bahagian. Kita mesti sedar bahawa sekiranya sekat-menyekat ini masih diamalkan, orang Melayu boleh pilih untuk menyertai parti lawan yang sudah tentu mengalu-alukan kedatangan mereka.
2. Memastikan keahlian kita (khususnya Pemuda) memahami sejarah perjuangan UMNO, perjuangan Melayu, perjuangan untuk Kemerdekaan, keadaan Melayu sekarang, dan halatuju Melayu kehadapan. Ini penting bagi menerapkan satu semangat yang jitu dan berasaskan fakta sejarah yang memberikan keyakinan kepada setiap Pemuda apabila berhujah dengan kawan ataupun lawan. Jangan kita hanya pandai beretorik dan menunjukkan sifat keMelayuan kita walhal semangat Melayu kita sebenarnya tidak tebal dalam sanubari kita.
3. Peri-pentingnya kita memahami apa masalah yang dihadapi oleh orang-orang muda. Sebagai parti politik, kita seharusnya membantu menyelesaikan masalah jika kita mahu kekal relevan bagi orang muda. Kalau kita dilihat sebagai parti elitis yang tidak pedulikan masalah belia, sudah tentu mereka tidak akan menyokong kita dan ini nanti akan diterjemahkan kepada kekalahan kita di PRU akan datang. Antara masalah-masalah yang kita tahu dihadapi golongan muda ini adalah:
a. pengangguran;
b. masalah penjaja dan peniaga yang kerapkali diganggu pihak berkuasa;
c. pekerja kilang yang bermasalah dengan majikan;
d. pinjaman RM10-20ribu dari bank yang dibelenggu kerenah birokrasi;
e. perumahan;
dan banyak lagi masalah-masalah yang sepatutnya diselesaikan oleh kita jika kita mahukan sokongan daripada golongan muda.
Baca selanjutnya...

28 November 2008

Agenda Pergerakan

Salam takziah buat Saudara Mohd Azwan Abdul Rahman (Gapa) di atas pemergian ayahandanya ke Rahmatullah pada pukul 6.20 ptg tanggal 24/11/2008 di Desa Anggerik, Bandar Baru Nilai. Jenazah dikebumikan pada keesokan paginya di Tanah Perkuburan Islam Taman Selasih Fasa 2, Kuala Lumpur. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Al-Fatihah.
Pemuda IKS telah mengadakan mesyuarat AJK yang pertama untuk penggal ini pada 28/11/2008 bertempat di Dewan Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Taman IKS. Mesyuarat yang bermula pada pukul 9.00 mlm beragendakan majlis penyerahan surat perlantikan pegawai-pegawai, penubuhan biro-biro dan perlantikan pengerusinya serta membincangkan pelan tindakan Pemuda IKS untuk penggal ini. Biro berserta Pengerusinya yang telah ditubuhkan adalah seperti berikut:
1. Biro Politik, Saudara Fakhrulzaman Fadzil
2. Biro Penerangan, Saudara Shafril Yizmier
3. Biro Ekonomi, Saudara Hamizan Abu Samah
4. Biro Belia, Sukan & Rekreasi, Saudara Norzaman Ismail
5. Biro Agama, Kebajikan & Pembangunan Insan, Saudara Khairul Faizi Ramli
6. Biro Pendidikan & Latihan, Saudara Shahir Omar
Pemuda IKS turut menyampaikan hasil kutipan derma kilat untuk keluarga Allahyarham. Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 11.45 mlm dan disusuli dengan sedikit jamuan ringan.
Baca selanjutnya...

25 November 2008

Pemuda IKS: Setiakawan Berbaur Kronisme

Tatkala menjelang musim pemilihan barisan kepimpinan UMNO Malaysia, calon-calon yang bertanding masing-masing sibuk berkempen samaada di dunia nyata mahupun di dunia maya. Masing-masing mempunyai cara tersendiri dalam memenangi hati para perwakilan bagi meraih undi daripada mereka. Yang kian menjadi popular hari ini adalah penggunaan "tagline" sebagai kaedah pendekatan utama terhadap sokongan daripada peringkat akar umbi.
Apa yang dikhuatiri oleh Pemuda IKS adalah matlamat utama menggunakan tagline tertentu. Adakah ianya sekadar wayang sahaja? Ini menjadi persoalan kerana dunia politik yang kotor hari ini tidak menitikberatkan dasar perjuangan. Malah kepentingan peribadi yang menjadi keutamaan. Tagline yang membuatkan Pemuda IKS ragu-ragu adalah penggunaan konsep "Setiakawan" oleh Saudara Khairy Jamaluddin.
Pertama sekali, tabik hormat kepada beliau kerana berani menyahut cabaran untuk bertanding walaupun saingan beliau adalah di kalangan Dato' dan Doktor. Apakah kelebihan beliau sehinggakan layak bertanding bersama-sama calon-calon yang hebat sedangkan beliau cuma rakyat biasa tanpa apa-apa gelaran istimewa?
Pemuda IKS berpendapat, konsep "Setiakawan" yang dibawa oleh Saudara Khairy Jamaluddin berbaur kronisme. Ini kerana sifat setiakawan itu wujud di kalangan kawan-kawan sahaja. Sudah tentu kawan-kawan adalah insan yang mengenal rapat dengan hati budi kita sebagai manusia. Bagaimana pula dengan mereka yang tidak berkawan atau tidak mengenali beliau dengan rapat? Adakah mereka ini akan diberi layanan dan keutamaan seperti kawan-kawannya yang lain?
Baca selanjutnya...

21 November 2008

Dato' Mukhriz Mahathir: Jawatan Kabinet? Tak Mau La

Calon Ketua Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir menegaskan beliau tidak berminat untuk memegang jawatan dalam Kabinet sekiranya dipilih menerajui pergerakan itu pada pemilihan parti Mac depan.
Pendirian itu dibuat kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian untuk mengembalikan keyakinan rakyat pada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam tempoh empat tahun sebelum pilihan raya umum akan datang. Lantikan dalam Kabinet dikhuatiri akan mengalihkan perhatian beliau untuk melakukan yang terbaik buat parti terlebih dahulu.
"Yang itu berat (anggota Kabinet), yang ini tak kurang berat (Ketua Pemuda), kalau nak buat dua-dua payah sikit. Bukan kerana saya rasa saya tidak mampu tetapi saya mahu beri masa dan tumpuan untuk meyakinkan semula rakyat di lima negeri dan tempat lain yang kita (BN) kalah."
Sementara itu, Dato' Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Parlimen Jerlun mendesak pengurusan parti supaya bertindak tegas terhadap calon-calon pemilihan parti yang mengamalkan politik wang. Katanya, jumlah aduan politik wang yang diterima Lembaga Disiplin terlalu tinggi apabila telah melebihi 1,000 aduan walaupun UMNO hanya mempunyai 191 bahagian.
Baca selanjutnya...

20 November 2008

Raja Dr. Nazrin Shah: Terima Adat Tempatan

Amat penting bagi sesebuah komuniti imigran di sesebuah negara menghormati dan menerima adat, sejarah serta sistem pemerintahan yang diamalkan di negara mereka berhijrah dan menetap sepanjang masa.
Mereka sepatutnya mempunyai garis sempadan dalam mempersoalkan sesuatu perkara yang membabitkan antara hak seseorang individu untuk memilih cara hidup pilihannya di negara mereka berhijrah atau keperluan untuk mewujudkan sebuah masyarakat bersatu padu.
Dalam membuat pilihan itu, masyarakat imigran yang datang daripada pelbagai budaya dan adat perlu berpegang kepada pepatah ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'. Anggapan bahawa beban tanggungjawab hanya terletak di bahu negara penerima mungkin tidak tepat. Malaysia merupakan contoh terbaik bagaimana diaspora atau penghijrahan besar-besaran orang Cina, India dan kaum-kaum lain yang membawa kepada sebuah bangsa yang makmur dan majmuk.
Hari ini semua mereka menjadi sebahagian daripada landskap negara ini dan pada masa yang sama, warga Malaysia turut berhijrah ke serata dunia untuk meneroka pelbagai bidang. Proses integrasi di antara golongan imigran di negara yang mereka berhijrah berlaku dari semasa ke semasa dan melibatkan banyak generasi.
Secara umum, kemahuan dan keperluan imigran di mana-mana negara adalah sama iaitu makanan, wang, pendidikan untuk anak-anak dan kehidupan yang lebih bermakna, selain rumah dan perlindungan pada hari tua. Namun, generasi imigran yang seterusnya akan mengimpikan identiti dan semangat kekitaan yang lebih mendalam. Mereka juga mahu diserapkan dalam komuniti yang lebih besar dan tidak dilayan sebagai orang asing.
Usaha sesetengah kerajaan negara Komanwel untuk memperkenalkan polisi yang pelbagai dalam perkhidmatan awam adalah pendekatan yang tepat dan responsif. Dalam sebuah negara yang mempunyai budaya majmuk, masyarakat daripada pelbagai budaya perlu dibenarkan hidup bebas tanpa dipaksa melakukan perkara yang mereka tidak mahu.
Kehidupan yang demokrasi bermakna seseorang itu boleh memilih untuk lebih menyesuaikan diri dalam masyarakat, diserap atau diterima dalam masyarakat atau tidak menunjukkan sebarang minat. Pada masa yang sama, keperluan untuk mewujudkan masyarakat yang berkongsi nilai dan kepentingan tetap menjadi keutamaan.
Baca selanjutnya...

19 November 2008

Kualiti Kepimpinan Melayu Terbukti

Pembentukan semula ekonomi yang dilakukan oleh pentadbiran Presiden Bush tidak ubah seperti tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad menyelesaikan krisis kewangan yang melanda Asia 10 tahun dahulu. Pemuda IKS berasa bangga kerana ini membuktikan kualiti yang ditunjukkan oleh kepimpinan orang Melayu.
Tindakan Tun terhadap memulihkan ekonomi telah membuka mata dunia. Tun tidak memilih untuk meminjam daripada IMF atau World Bank dan menggunakan Ringgit Malaysia daripada dollar ketika Malaysia menghadapi kemelesetan ekonomi pada tahun 1997. Formula Tun Dr. Mahathir telah ternyata berhasil dan kini pihak Amerika Syarikat telah mengikut jejak beliau untuk menangani kemelesetan yang melanda negara itu.
Ini adalah ulasan Pemuda IKS terhadap saranan Menteri Luar Negara, Datuk Seri Rais Yatim berkenaan kedudukan politik dan ekonomi orang Melayu yang memerlukan pengukuhan agar tidak dihina dan dipertikaikan oleh bangsa asing. Kita seharusnya menganalisa saranan beliau melalui satu perspektif yang lebih luas memandangkan pemimpin Melayu hari ini perlu menambah pengetahuan jika mahu menerajui Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.
Dalam dunia yang semakin mencabar hari ini, kita tidak sepatutnya goyah dengan perubahan ekonomi dan politik. Proses peralihan kuasa semakin hampir, harga barang dan minyak pun sudah mula turun. Pelbagai bentuk bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia. Jangan kita berdiri dan melihat sahaja. Kita perlu merebut peluang. Malaysia boleh!
Baca selanjutnya...

18 November 2008

Makcik-makcik Yang Banyak Berjasa

Pemuda IKS berasa agak tersinggung dengan tindakan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin yang memperlekehkan tahap para pendidik di Tabika Kemas dengan menggelarkan mereka "makcik-makcik". Sebab utama Pemuda IKS tersinggung adalah kerana kebanyakan ahli dan keluarga Pemuda IKS adalah hasil dari pendidikan Tabika Kemas. Alhamdulillah, setakat ini Tabika Kemas melahirkan golongan beretika dan berjaya.
Adalah tidak relevan untuk membandingkan tahap perkhidmatan Tabika Kemas dengan tadika swasta yang lain. Pertama, Tabika Kemas hanya mengenakan bayaran minimum yang mampu ditampung oleh kebanyakan institusi keluarga. Kedua, Tabika Kemas dibiaya kerajaan dan tidak menitikberatkan soal keuntungan. Yang penting, penyampaian ilmu itu adalah berkesan.
Barangkali, Ahli Parlimen Ampang adalah dari sebuah keluarga yang berada dan mendapatkan pengajian di institusi-institusi swasta. Tetapi itu tidak bermakna beliau boleh merendah-rendahkan tenaga pengajar di Tabika Kemas. Pemuda IKS kenal benar dengan seorang penyelia KEMAS di Segambut. Beliau menyatakan bahawa kanak-kanak yang hadir ke Tabika Kemas cukup gembira dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak KEMAS. Pihak KEMAS memang memberi komitmen penuh terhadap perkembangan kanak-kanak ini. Guru-guru yang mengajar pun adalah mereka yang sudah ditauliahkan oleh pihak KEMAS.
Sedarlah, tenaga pendidik Tabika Kemas bukannya satu kerjaya yang dapat memberi pendapatan yang lumayan. Akan tetapi Pemuda IKS berasa kagum dengan usaha mereka yang bertugas dengan penuh keikhlasan. Bandingkanlah budi dan bakti mereka kepada masyarakat dengan usaha kita yang tak ke mana setakat ini.
"Lepas nie nak compare sekolah kerajaan dengan sekolah swasta pulak ker?"
Janganlah kita mencari populariti di kalangan media dengan menimbulkan isu-isu yang tidak relevan. Pemuda IKS sentiasa memerhati pihak pembangkang yang semakin hari semakin "kering" dengan isu-isu yang relevan.
Baca selanjutnya...

17 November 2008

Kerjaya Bukan Penghalang Untuk Berpolitik

Kita semua sedar akan keadaan ekonomi semasa yang sedang "bergoyang" ini. Tatkala inilah kebanyakan individu bersungguh-sungguh mencari rezeki. Yang berniaga sendiri, rajin cari projek atau kontrak. Yang makan gaji, bersungguh kerja lebih masa atau cari duit tepi. Keadaan semasa memaksa kita bertindak sedemikian. Kos kehidupan di bandar-bandar besar memang memerlukan belanja yang banyak.
Kalau dah kerja banyak, tentu banyak masa digunakan dalam kehidupan seharian. Tidak dikira masa yang perlu diluangkan bersama keluarga, kekasih ataupun kawan-kawan. Mana ada masa nak berpolitik? Pemuda IKS sendiri dihuni oleh individu-individu dari pelbagai latarbelakang dengan kerjaya masing-masing. Tetapi konsep pendekatan yang digunapakai oleh Pemuda IKS adalah "kesedaran". Tiada paksaan atau desakan dalam berpolitik. Semuanya bertindak di atas "kesedaran".
Kesedaran yang dimaksudkan adalah kesedaran menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Islam, seorang Melayu dan seorang rakyat Malaysia. Tidak kira anda menyertai kem siapa, parti apa, mengambil tahu sahaja sudah menampakkan usaha anda. Adakah anda mempunyai kesedaran ini?
Tahniah kepada mereka yang sudah berdaftar sebagai pengundi di SPR. Jangan pula tidak keluar mengundi. Ada sesetengah di antara kita langsung tidak berdaftar walaupun sudah layak. Pemuda IKS boleh memahami segala alasan anda untuk tidak menyertai perjuangan parti politik tetapi untuk tidak mengundi menunjukkan anda tidak sayang pada tanahair. Jika benar sayang, sila jalankan tanggungjawab yang paling ringan ini.
Soal tiada masa kerana sibuk dengan kerjaya adalah persoalan yang tidak relevan. Anda berkerjaya pun kerana anda mempunyai "kesedaran" untuk mencari rezeki dan menyara kehidupan anda di bumi Allah s.w.t. ini. Jadi mengapa "kesedaran" jati diri itu tidak ada dalam diri anda?
Banyak cara untuk kita menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat. Selain mengharumkan nama melalui akademik, sukan dan teknologi, berpolitik merupakan salah satu medium sosial yang menghubungkan anda dengan sifat nasionalis. Sumbangan sekecil mana pun akan dihargai. Demi agama, bangsa dan negara!
Berpolitik dapat mengeratkan silaturrahim antara umat Islam. Berlainan fahaman politik tidak bermakna kita bermusuhan antara satu sama lain. Berpolitik dapat mewujudkan aktiviti sihat dalam sesebuah komuniti. Sifat tolong menolong antara satu sama lain memang menjadi budaya kita. Kenapa perlu pandang yang negatif tanpa menilai yang positif terlebih dahulu? Jangan mencaci perkara yang kita tidak pernah lalui.
Baca selanjutnya...

16 November 2008

UMNO: Cosa Nostra Melayu?

Cosa Nostra atau nama lainnya Mafia yang berasal dari Italy bermakna "A Thing Of Ours". Ia merupakan satu organisasi sulit yang menjalankan aktiviti jenayah terancang. Jenayah-jenayah seperti rompakan, pelacuran, perjudian haram, peras ugut dan pengedaran dadah amat popular di kalangan organisasi ini. Keganasan adalah perkara biasa bagi mereka.
Walaupun jenayah sebegini berleluasa, perancangan terhadap jenayah ini dilakukan dengan terperinci agar kegiatan mereka tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa. Sudah tentu rasuah adalah senjata utama yang menjadi penggerak dalam organisasi ini. Ramai ahli politik, para hakim dan polis yang selalu menerima sogokkan dari organisasi ini.
Akan tetapi, organisasi ini juga menitikberatkan soal kekeluargaan dan budaya dalam setiap kegiatan mereka. Kehidupan dan tatatertib mereka masih berpegang pada prinsip dan pegangan yang dibentuk. Mereka sentiasa bangga dengan asal usul mereka. Mereka hanya menjaga kepentingan organisasi mereka.
Di Malaysia, soal Cosa Nostra tidak wujud seperti di Italy dan Amerika Syarikat. Pihak berkuasa negara berkenaan juga dengan segala daya dan usaha cuba mengekang aktiviti organisasi sulit ini. Sesetengah pihak melihatkan UMNO sebagai Cosa Nostra Melayu. Perbezaan diantara UMNO dan Cosa Nostra adalah UMNO bukannya sebuah organisasi sulit dan UMNO tidak menggunakan keganasan atau kekerasan.
Tetapi soal implementasi di peringkat akar umbi sudah menunjukkan ke-Cosa-Nostra-an UMNO. Budaya kronisme amat berleluasa. UMNO selalu menampakkan menjaga kepentingan ahli-ahli UMNO sahaja. Orang tertentu sahaja akan mendapat kelebihan tertentu. Tatkala musim pertandingan, ramai individu yang akan di-kambing-hitam-kan untuk menjaga kepentingan individu tertentu. Rasuah? Tak payah cerita panjang. Anda sendiri tahu. Pemimpin UMNO sering dikaitkan dengan semua kenyataan di atas, tetapi di mana buktinya?
"It's not about what you know, it's about who you know."
Inilah Cosa Nostra Melayu. Jika anda ingin menentang seorang pemimpin berbekalkan ilmu dan agenda baru untuk diperjuangkan, anda perlu mengharungi perit getir menentang orang-orang beliau dahulu. Belum dikira tentangan daripada "orang-orang atas". Belum dikira tentangan daripada orang-orang NGO yang berhubungkait dengan beliau. Pelbagai usaha akan dijalankan untuk menjatuhkan anda. Lebih ramai kenalan dari "orang-orang atas" akan menguatkan kedudukan seseorang dalam UMNO. Bukannya kredibiliti atau kepimpinan.
Walaupun UMNO dihujani pelbagai tohmahan dan anggapan negatif, UMNO tetap memperjuangkan agenda orang Melayu. Tanpa UMNO, orang Melayu akan hilang pegangan. Tanpa UMNO, hak orang Melayu tidak akan dipertahankan. Tanpa UMNO, kebajikan orang Melayu mungkin terabai. Tetapi jika segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap pemimpin UMNO adalah benar dan tidak seorang pun disabitkan dengan kesalahan, UMNO adalah Cosa Nostra Melayu.
Baca selanjutnya...

15 November 2008

Dilema Pemuda Batu: Penglibatan Golongan Muda

Ada banyak kumpulan dalam golongan muda. Antara di antara mereka merupakan penganggur, berpendidikan, golongan profesional dan bermacam lagi. Akan tetapi sudah menjadi budaya orang Timur, "seniority" diperlukan dalam mentadbir atau mengelola sesebuah organisasi kerana pengalaman amat dititikberatkan. Ijazah yang diperoleh oleh golongan muda cuma hiasan tanpa pengalaman.
Tidak seperti di negara Barat, pencapaian akademik menjadi perhatian. Ini mungkin kerana institusi pengajian di sana amat berperstij. Dengan segulung ijazah kehormat dari sebuah institusi yang ulung dapat melonjakkan peranan golongan muda dalam komuniti.
Selain itu, kematangan dan pengalaman golongan muda sering dipersoalkan dan dipandang rendah. Ditambah pula dengan persepsi golongan muda bahawa UMNO berunsur kepentingan individu dan mementingkan kronisme. UMNO juga dilihat tidak menampakkan faedah dan kesan kepada golongan muda. Ada diantara mereka menyatakan bahawa aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh UMNO amat membosankan dan tidak menarik. Yang malas tu, malaslah.
Ada di antara mereka berkelulusan dari luar negara. Adakah mereka berbakti kepada Malaysia selepas mendapat ijazah? Hasil dari menghantar penuntut ke luar negara ini masih diragui. Kurang pendedahan terhadap pergolakan politik nasional menyebabkan mereka kurang minat akan isu politik setelah pulang ke tanah air. Ditambah pula dengan pengaruh cerita-cerita kedai kopi.
Kebanyakan mereka mempunyai kesedaran yang lewat terhadap kepentingan politik dalam hidup. Tatkala mengejar kepentingan seperti projek, skim perumahan dan lain-lain subsidi yang memerlukan hubungan politik, barulah berminat dan mula mengikuti perkembangan politik tempatan. Mereka ini perlu diberi peluang dan ruang jika kita hendak melihat kemampuan mereka.
Soal penerimaan golongan muda bergantung kepada keberkesanan penyampaian ahli-ahli politik tempatan di peringkat akar umbi. Inilah tanggungjawab besar pemimpin di akar umbi, merekrut ahli-ahli baru. Para pemimpin perlu selalu memberi pendedahan terhadap perkembangan politik tempatan.
Apabila suara golongan muda ini tidak diendahkan, mereka mengambil media alternatif sebagai tempat meluahkan perasaan, mungutarakan pandangan dan memberontak! Kita perlu sedar, golongan muda juga merupakan satu pengaruh besar dalam PRU-12. Untuk PRU-13, walaupun kita tidak dapat memenangi hati golongan muda untuk menjadi ahli UMNO, pastikan mereka mengundi kerajaan Barisan Nasional. Berani Berubah!
Baca selanjutnya...

14 November 2008

Apakah Datuk Kamilia Yang Bersalah?

Apakah Datuk Kamilia Ibrahim dipersalahkan kerana tidak bersetuju dengan keputusan kepimpinan tertinggi Wanita UMNO kerana beliau tetap dengan pendirian beliau untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO?Atau, apakah Datuk Kamilia akan dipersalahkan jika mengengkari suara ahli-ahli wanita UMNO dari akar umbi yang menyokong beliau untuk bertanding, semata-mata untuk menggangguk setuju kepada keputusan pihak tertinggi?
Jika kita berlandaskan kepada alasan Datuk Kamilia seperti di atas, beliau mempunyai hak untuk meneruskan niat beliau untuk bertanding. Dan konsep peralihan di pertengahan tempoh jawatan tahun 2008 - 2011 yang terpaksa bergantung kepada 'pemangku' merupakan tactical politics yang tidak bijak, tergantung dan akan menyebabkan berlakunya perebutan kuasa yang berpanjangan.
Titik fokus perjuangan yang samar-samar akan menyebabkan parti turut terumbang-ambing dan bakal menimbulkan pelbagai kesulitan kelak. Wanita UMNO pula merupakan satu kuasa politik yang kuat dan ini tidak dapat dinafikan. Ahli-ahlinya pula sangat aktif di dalam pelbagai program. Tugas mereka sebagai perayu undi di tiap-tiap pilihanraya memang diakui kemas dan efektif dan sangat sukar untuk dicari ganti.
Akan tetapi, pergolakan yang tidak diingini ini sepatutnya dapat dielakkan. Adalah lebih terpuji jika mereka yang dirasakan sudah tiba masanya, mengundurkan diri dengan terhormat. Tidak mungkin Perdana Menteri baru pada bulan Mac 2009 kelak akan memberi sebarang jawatan kabinet kepada ketua wanita UMNO yang akan mengundurkan diri 3 bulan selepas itu. Ianya hanya akan mengganggu perjalanan kementerian yang terlibat.
Baca selanjutnya...

13 November 2008

Nak Gaji RM1,000 Pun Susah?

Kepada beberapa pemimpin bukan Melayu yang kuat melaungkan kononnya berlaku ketidakadilan dan penindasan ke atas bangsa mereka, sila perhatikan statistik di bawah dengan penuh teliti. Harap selepas ini, mereka akan sedar diri dan bersyukur ke atas segala nikmat yang mereka perolehi selama ini. Jangan hanya pandai menaikkan sentimen perkauman dan ketidakpuashatian bangsa mereka tapi ajarlah mereka tentang erti syukur dan keamanan.
Begitu juga kepada pemimpin-pemimpin Melayu yang memandang kecil usaha DEB dan ketuanan Melayu. Mereka patut menelaah statistik di bawah dan perlu faham bahawa masih ramai lagi bangsa mereka yang memerlukan perhatian. Jangan kerana mereka telah berjaya, mereka lupa kepada rintihan bangsa mereka. Mereka juga lupa bahawa mereka adalah produk DEB dan usaha kerajaan selama ini.
Kaum Melayu merupakan kumpulan terbesar dalam senarai penduduk negara ini yang pendapatannya di bawah RM1,000 sebulan. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S. K. Devamany berkata, berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS) yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu, sebanyak 301,000 isi rumah kaum Melayu memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan.
Pendapatan kurang RM 1,000: Melayu-301,000 Cina-50,900 India-29,000
Pendapatan RM1001-RM2000: Melayu-976,500 Cina-338,300 India- 125,300
Pendapatan RM3001-RM4000: Melayu-380,500 Cina-234,700 India-73,300
Pendapatan RM4001-RM5000: Melayu-254,700 Cina-166,600 India-44,800
Pendapatan RM5001-RM10000: Melayu-419,200 Cina-368,400 India-76,800
Pendapatan RM10001-RM20000: Melayu-85,700 Cina-118,700 India-23,400
Pendapatan lebih RM20000: Melayu-16,500 Cina-27,900 India-3,600 Baca selanjutnya...

12 November 2008

Datuk Dr. Hassan Ahmad: Puisi Hina Kaum Melayu

Salah satu warisan kolonial yang masih kekal tinggalnya dalam sejarah bangsa Melayu di rantau ini, khususnya di Semenanjung Tanah Melayu, ialah kepercayaan bahawa tanah asal orang Melayu bukan di Semenanjung ini tetapi di kawasan lain. Ada yang mengatakan bahawa orang Melayu dari Funan.
Walaupun 'teori' ini sudah ditolak, atau sekurang-kurangnya tidak dipercayai lagi, namun masih ada orang yang tetap percaya bahawa orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu bukan penduduk asal tetapi ialah pendatang dari kawasan lain dari Sumatera, dari Jawa, dari Makasar dan entah dari mana lagi.
Maka berdasarkan kepercayaan ini, terciptalah sebuah puisi baru-baru ini, bertajuk Kingdom of Purplaya dikarang oleh orang yang bernama Cecil Rajendra dan diterbitkan dalam majalah Aliran, menghina orang Melayu dengan berkata bahawa orang Melayu yang berada di negara yang disebut `Tanah Melayu' itu bukan penduduk asal kawasan ini.
Orang Melayu adalah kaum pendatang. Mereka datang merantau dari kawasan-kawasan lain, terutama dari Sumatera, lalu mendakwa inilah `tanah asal' mereka. Maka dikatakan bahawa orang Melayu itu mula menuntut hak sebagai kaum bumiputera Persekutuan Tanah Melayu, lalu akhirnya mereka menggubal perlembagaan yang menetapkan beberapa hak mereka.
Menurut puisi itu, orang Melayu menetapkan, dalam perlembagaan itu bahawa raja di negara ini ialah raja Melayu, agama rasminya ialah agama Islam, bahasa rasminya ialah bahasa Melayu. Selain ini, orang Melayu yang dianggap kaum pendatang ini, menuntut hak-hak istimewa yang lain lagi, misalnya dalam bidang pendidikan, dalam bidang ekonomi, dalam bidang pentadbiran, dan sebagainya.
Jikalau puisi ini dideklamasikan di seluruh negara, atau di RTM, misalnya, saya tidak tahu apakah reaksi orang Melayu, reaksi UMNO, reaksi PAS, reaksi raja-raja Melayu, reaksi para sarjana sejarah Melayu dan kumpulan-kumpulan lain lagi. Apa yang akan terjadi pada 'kestabilan' perpaduan kaum di Malaysia jikalau ada pula puisi lain yang 'menghina' kaum-kaum lain, dengan berkata merekalah yang sebenarnya kaum pendatang, yang datang dari kawasan di luar rantau tamadun Kepulauan Melayu ini (istilah yang diciptakan oleh orang Inggeris - Malay Archipelago).
Tetapi selepas kemerdekaan-kemerdekaan yang diperjuangkan oleh orang Melayu - kaum-kaum pendatang ini diterima oleh orang Melayu sebagai warga atau rakyat Malaysia, hidup bersama-sama mencari rezeki di bumi yang bertuah ini, walaupun sejak itu orang Melayu bukanlah kaum yang 'istimewa', kaum kelas satu, kaum yang terkaya dan yang membolot semua kemudahan yang ada di negara ini, kemudahan yang dibina, dibangunkan oleh kerajaan yang boleh dikatakan didominasi oleh orang Melayu: Raja Melayu, Perdana Menteri Melayu, Menteri Besar Melayu, kebanyakan ketua pentadbiran awamnya orang Melayu.
Perhatikan juga kaum minoriti pun diterima oleh orang Melayu untuk duduk dalam kabinet, menjadi menteri dan timbalan menteri, bersama-sama mentadbirkan negara ini. Dan perhatikan juga, walaupun bahasa Melayu bahasa rasmi dan bahasa utama dalam sistem pendidikan negara, kaum Melayu tidak merupakan kaum yang paling maju dalam bidang pendidikan. Bahasa Inggeris masih tetap merupakan bahasa penting dalam pembangunan negara ini. Walaupun Islam agama rasmi, tempat-tempat sembahyang agama lain tumbuh merebak-rebak di serata negara, termasuk di kampung-kampung Melayu.
Tidak wujud di negara ini kumpulan-kumpulan rasis di kalangan orang Melayu, seperti yang terdapat di negara-negara lain, misalnya kumpulan rasis Skinhead di Britain, Ku Klux Klan di Amerika Syarikat, kumpulan rasis Swastika di Jerman atau di Eropah. Kalaupun ada berlaku beberapa peristiwa 'pergaduhan kaum' banyak orang berpendapat bahawa orang Melayu bukanlah pihak yang memulakan atau mencetuskannya.
Ingat peristiwa 'Bintang Tiga' yang mengganas semasa Jepun kalah perang dan sebelum tentera British masuk semula di kawasan yang mereka sebut 'British Malaya' ini. Orang Melayu bertindak hanya setelah mereka diancam. Maka terkenallah orang Melayu ini sebagai bangsa yang paling 'toleran', bangsa lemah lembut, cukup bersopan santun. Maka aman damailah negara selama ini.
Jadi, ahli-ahli sejarah bangsa Melayu hendaklah berusaha, secara ilmiah dan benar, untuk membetulkan mitos-mitos yang masih menyelaputi imej bangsa Melayu hari ini akibat sejarah ciptaan ilmu kolonial yang salah itu. Diharap penulis puisi yang menghina itu menyedari hakikat ini.
Baca selanjutnya...

11 November 2008

Isu Kemiskinan Dalam Bandar di Parlimen Batu

Isu kemiskinan dalam bandar di kalangan orang Melayu merupakan isu yang sering dibicarakan akan tetapi ianya tidak menunjukkan arah perkembangan yang positif. Apa yang lebih menarik adalah isu ini kerapkali dijadikan 'umpan' untuk meraih perhatian. Pemuda IKS amat terganggu dengan perkara ini.
Walaubagaimana pun, tinggalkan sahaja retorik ini dan mulai sekarang, dengan kepimpinan Pemuda Batu yang baru, ayuh kita bangun dan bentuk satu rancangan pelan pembangunan ekonomi untuk memajukan orang Melayu khususnya di Batu ini.
Kerapkali Pemuda IKS mengutarakan soalan ini, bagaimana untuk menghapuskan kemiskinan masyarakat Melayu? Ya, kita sedar dan tahu menghapuskan kemiskinan ini adalah agenda penting kerajaan. Tetapi adakah ianya berjaya? Dan apakah 'benchmark' yang digunapakai untuk menilai keberkesanan program membasmi kemiskinan ini? Tidak perlu menuding jari kepada sesiapa tetapi kita sendiri perlu berusaha, mengkaji dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk menyelesaikan perkara ini.
Berikut adalah beberapa cadangan dari pihak Pemuda IKS:
1. Menerap dan menekan budaya berniaga yang berlandaskan hukum syarak dan konsep 9/10 rezeki datang dari berniaga.
2. Mengenalpasti industri yang boleh dibangunkan secara koperasi di setiap cawangan UMNO secara kecil-kecilan. Sebagai contoh: Industri Pembuatan, Industri Pemprosesan, Industri Tekstil dan Fabrik, Industri Pertanian, Industri Perkhidmatan.
3. Penganjuran bengkel, kursus dan seminar yang lebih berorientasikan kemahiran dan praktikal.
4. Menyalurkan bantuan kepada kumpulan sasaran yang menunjukkan minat dan 'viable'.
5. Memberi bimbingan, tunjuk ajar dan nasihat berterusan melalui jurulatih-jurulatih dari agensi kerajaan dan swasta berdasarkan kepada industri.
6. Mewujudkan satu panel penilaian bebas untuk menilai keberkesanan dan mencari sumber-sumber serta industri yang boleh dimanipulasi bersesuaian dengan lokasi setiap cawangan.
7. Merangka satu mekanisma yang dinamik untuk memastikan rangkaian pengedaran yang lancar dan tidak 'hangat-hangat tahi ayam' atau pun untuk meraih kepentingan individu dan kumpulan tertentu semata - mata.
Walaupun ianya dijalankan secara kecil - kecilan tetapi dengan penyertaan dari 41 cawangan di dalam UMNO Bahagian Batu, sedar atau tidak kita telah mula menjana dan mencipta satu rantaian ekonomi di kalangan ahli UMNO sendiri.
Insyaallah, dengan terhasilnya program-program seperti ini diharap dapat menggamit semua lapisan masyarakat untuk mengenali UMNO dan mengikis tanggapan serong masyarakat bahawa UMNO ini hanya sebuah parti yang mengamalkan 'ultralism' tapi tidak memberi apa-apa manfaat kepada masyarakat sekelilingnya.
Inilah salah satu kaedah perjuangan yang perlu kita perjuangkan untuk mengangkat martabat orang Islam dan Melayu pada masa kini. Kita perlu menyesuaikan perjuangan kita supaya ianya sejajar dengan perubahan arus dan kehendak semasa. Ikhlas, Berani Berubah, Selamat Berjuang!
Baca selanjutnya...

10 November 2008

Menerapkan Budaya Ilmuwan Dalam Pemuda Batu

Pemuda IKS tertarik dengan hujah yang dibentangkan oleh saudara Nobisha (Norizan bin Sharif) dalam salah satu segmen kelolaan pihak Astro Awani. Beliau yang merupakan salah seorang blogger terkenal di tanah air diminta mengulas berkenaan isu pemilihan dalam UMNO serta proses transformasi yang amat diperlukan oleh UMNO hari ini. Cara beliau mengulas setiap persoalan menampakkan beliau memang seorang yang berpengalaman dalam dunia politik.
Antara topik yang hangat dibincangkan adalah isu pemilihan pucuk pimpinan UMNO. Kenapa kita hari ini dihadapkan dengan muka-muka pemimpin yang sama? Pemuda IKS berasa Malaysia memerlukan wajah-wajah baru dengan semangat baru serta agenda perjuangan yang baru. Seperti dibincangkan dalam artikel sebelum ini, prinsip UMNO itu sendiri sudah sedia kukuh cuma memerlukan implementasi yang lebih berkesan.
Selain itu, beliau juga turut mengupas soal budaya ilmuwan dalam berpolitik. Politik hari ini lebih memandang kepada populariti seseorang pemimpin. Tidak seperti dulu, hujah-hujah yang bernas tidak lagi dititikberatkan. Malah politik wang menjadi senjata utama para pemimpin kita. Siapa hulur lebih, dia dapat lebih! Pemuda IKS bimbang dengan kemerosotan budaya ilmuwan dalam UMNO, makin kuranglah pemimpin berwibawa dari golongan intelektual.
Di sini Pemuda IKS ingin mencadangkan supaya budaya membaca dapat diterapkan dalam Pemuda Batu. Tidak kira apa jua bentuk bahan bacaan, matlamatnya adalah meningkatan tahap pemikiran orang-orang Melayu. Kita bukan sahaja dapat menimba ilmu, malah dapat mengikis mentaliti kolot yang sering ditunjukkan oleh orang-orang seperti pengulas-pengulas provokatif di Wilayahkini.
Baca selanjutnya...

09 November 2008

Dilema Pemuda Batu: Penggunaan Kuasa Veto atau Suara Majoriti?

Pemuda IKS berpendapat bahawa Pergerakan Pemuda hari ini mempunyai corak pentadbiran masing-masing mengikut cawangan tertentu. Membuat keputusan adalah tanggungjawab yang paling kritikal untuk seorang Ketua Pemuda kerana ianya akan memberi impak kepada beliau dan juga Pergerakan Pemudanya.
Samaada ianya akan memberi impak positif atau negatif, bergantung kepada keputusan yang dibuat. Adalah lebih baik jika Pergerakan Pemuda itu dapat mencapai kata sepakat hasil dari perbincangan oleh ahli-ahli Pergerakan Pemuda mengenai sesebuah isu.
Dalam setiap isu, asal usulnya adalah dari sebuah masalah. Sudah tentu setiap masalah mempunyai langkah penyelesaian yang paling sesuai. Dalam soal ini, kaedah perlaksanaan yang paling efisyen dan efektif perlu dirangka sebagai langkah awal menyelesaikan masalah. Kita juga tidak boleh lupa akan penerimaan sesebuah golongan terhadap kaedah penyelesaian yang digunapakai. Setelah dikaji betul-betul akan masalah dan langkah penyelesaiannya, barulah kita boleh bertindak berdasarkan pelan tindakan yang dirangka.
Adakah langkah yang digunakan bersesuaian? Adakah ianya berkesan? Adakah kita mempunyai langkah-langkah tambahan untuk mempertingkatkan lagi keberkesanan langkah yang diambil? Adakah kita sudah merangka langkah sampingan sekiranya langkah asal kita tidak berkesan? Persoalan ini sentiasa bermain di fikiran seorang Ketua Pemuda. Yang penting bagi Pemuda IKS, beliau sedar akan tindakan beliau diambil atas hasil pengamatan beliau bersama Pergerakan Pemuda mengenai sesebuah masalah.
Pernahkah anda terfikir bahawa kebangkitan dan kejatuhan Adolf Hitler adalah kerana kepimpinan beliau ataupun kekuatan organisasi? Yang ketara, organisasinya tumbang dahulu dan kemudian beliau membunuh diri. Ini menampakkan kekuatan organisasi Nazi bergantung kepada organisasi itu sendiri. Banyak spekulasi dari pelbagai pihak mengenai kesudahan organisasi yang beliau tubuhkan, terpulanglah kepada kita untuk mempercayainya.
Bagaimana pula dengan Khalifah Allah s.w.t yang agung, Salahuddin Al-Ayyubi? Organisasi beliau tumbang setelah ketiadaan beliau. Semasa zaman pemerintahan beliau, tidak ada satu bala tentera pun yang mampu menewaskan kehebatan strategi perang beliau. Adakah ini membuktikan bahawa hanya sifat kepimpinan yang ada pada seorang ketua boleh menentukan kejayaan sesebuah organisasi?
Pemuda IKS berpendapat, kesemua persoalan kekuatan organisasi ini terletak pada setiap individu di dalamnya. Setiap di antara individu ini mempunyai tanggungjawab tersendiri, maka setiap individu di dalam sesebuah organisasi itu perlu memainkan peranan masing-masing dalam setiap pergerakan organisasi itu. Janganlah kita menolak beban yang dipikul kepada pihak lain atau individu lain. Adalah lebih baik kita belajar dari kesilapan daripada mencari kesilapan orang lain.
Baca selanjutnya...

08 November 2008

Pemuda Melewar: Fahami Konteks Perjuangan UMNO

PEMUDA adalah generasi yang digolongkan berusia antara 18 dan 40 tahun. Jika dibandingkan dengan usia parti UMNO, Pemuda dilihat sebagai golongan yang tidak mempunyai banyak pengalaman suka duka kehidupan.
Kebanyakan pengalaman mereka lebih bersifat teori, berdasarkan kepada buku-buku sejarah, tanpa terpahat bekas-bekas luka perjuangan seperti generasi Melayu sebelum kita. Malah hari ini, sejarah bangsa dan negara biasanya dipelajari, semata-mata untuk lulus peperiksaan, tanpa sebenarnya menjiwai dan mendalami erti kata sejarah itu sendiri.
Bagaimanapun, kita mesti menghadapi kitaran hidup yang nyata. Kekosongan generasi dewasa Melayu yang mula-mula mengharungi perit getir kelemahan politik dan kedaifan orang Melayu zaman dahulu, akan diisi oleh generasi Melayu baru yang masih muda dari segi pengalamannya. Bak kata pepatah, patah tumbuh hilang berganti.
Sungguhpun begitu, evolusi parti UMNO sungguh menakjubkan dan menggetarkan perasaan ini, terutama sekali di awal penubuhannya. Kita mungkin tidak mampu merasai bahangnya tetapi cuba bayangkan apabila 41 buah pertubuhan terbesar bangsa Melayu yang mewakili berbagai kepentingan, dapat dihimpunkan dan berjaya mengadakan Kongres Melayu Setanah Melayu (Semalaya) di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946.
Atmosfera di masa itu tentu sangat hangat dibakar oleh api semangat perjuangan orang Melayu yang berada di kelab tersebut. Ia seterusnya telah mencetuskan bibit-bibit penyatuan dan perpaduan, hinggalah terbentuknya Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) ataupun UMNO.
Secara ilmiah, kesemua objektif utama kewujudan UMNO adalah aspirasi dan semangat UMNO yang sungguh menarik untuk kita fahami dan perjuangkan. Secara amnya, aspirasi UMNO tidak berubah, tidak seperti parti-parti politik pembangkang lain. Kebanyakan parti politik yang lain tidak berpendirian kukuh dan mengikut resmi lalang di mana pendiriannya terhuyung-hayang mengikut rentak manusia dan politik di ketika itu.
Dunia tahu bahawa parti Pas merupakan sebuah parti yang ditubuhkan oleh penjajah Inggeris dengan natijah memecahbelahkan bangsa Melayu. Parti Keadilan pula mempunyai natijah penubuhan parti yang lahir dari perasaan kecewa dan tidak puas hati.
Persoalannya sekarang, apakah perasaan-perasaan negatif dalam kepimpinan parti-parti tersebut dapat menyediakan landasan kukuh kepada perjuangan agama dan bangsa yang bersih lagi suci seperti perjuangan parti UMNO? Terlalu banyak putar belit, khabar angin dan informasi politik yang mudah kita baca, dengar dan ucapkan, sehinggakan kita boleh terperangkap di antara realiti dan dongengan.
Oleh kerana itu, sebagai seorang Melayu yang berilmu, kita dituntut untuk mengkaji ‘wajah’ politik serta senario manusia dan kita mesti bijak membezakan di antara fakta dengan fitnah.
Baca selanjutnya...

07 November 2008

Kenapa Pilih PKR daripada UMNO?

Pemuda IKS ada berbual-bual dengan salah seorang pemimpin kuat PKR di Parlimen Batu. Dari hasil pertemuan itu, Pemuda IKS dapat merumuskan beberapa isu dan mungkin ini adalah suara hati dan strategi pihak pembangkang (PKR) untuk menawan hati rakyat selama ini.
Pihak pembangkang menimbulkan keraguan di kalangan orang Melayu mengenai siapakah wira sebenar dalam menuntut kemerdekaan. Adakah orang UMNO ataupun barisan Haluan Kiri dan Radikal? Selama ini kita dihambur-hamburkan mengenai Tunku Abdul Rahman sebagai pejuang kemerdekaan tapi dimanakah letaknya nama-nama seperti Ahmad Boestamam, Burhanuddin Helmi, Shamsiah Fakeh dan lain-lain?
Kita (UMNO) sering melaungkan cogankata 'Hidup Melayu', manakala PKR dengan senang hati mengambil kesempatan dengan menjadi jaguh dan mewar-warkan idea sebagai parti yang mewakili berbilang bangsa. Bagaimanakah cara untuk merapatkan jurang kaum? Dalam Islam telah menggariskan beberapa cara untuk kita berhadapan dgn golongan-golongan kafir. Strategi utama adalah dengan menggunakan ketaqwaan. Gunakanlah sebaiknya panduan yang diturunkan.
Mempersoalkan DEB (pemilikan ekuiti atau aset 30% Bumiputera). Rasionalnya adalah UMNO pada masa kini telah dikuasai secara tersirat atau pun tersurat oleh ahli-ahli perniagaan (sehinggakan apa saja boleh diniagakan!) dan mereka inilah yang 'memperjuangkan' 30% ekuiti agar tidak boleh dihapuskan. Mari kita tanya diri kita, adakah milikan ekuiti atau aset itu boleh didapati dengan hanya makan gaji? Tidak mustahil tetapi agak lambat.
Apa yang bakal diperkenalkan oleh PKR adalah Dasar Ekonomi Malaysia dimana kesamarataan pembahagian ekuiti. Sebagai contoh, DEB meletakkan Cina 50%, Melayu 15% (perlu mencapai 30%) dan India 25%. Disebabkan DEB, kaum Cina dan India terpaksa berpuas hati dengan apa yang mereka ada walhal mereka boleh 'meragut' baki 15% yang wajib dipenuhi oleh orang Melayu dan ianya tidak mampu dipenuhi dalam masa yang telah ditetapkan.
Manakala Dasar Ekonomi Malaysia 'bakal menawarkan' satu pakej dimana semua kaum akan mendapat purata pembahagian yg sama rata. Melayu 33.3%, Cina 33.3%, India 33.3% dan baki 0.01% akan menjadi milik siapa? Belum cuba belum tahu, sudah cuba baru menggaru!
PKR juga memainkan isu penggiliran PM, Menteri, Ahli parlimen dan semua jawatan-jawatan penting dalam kerajaan kerana mahukan muka-muka segar dan idea baru. Tetapi bagaimana pula dengan Dato' Haji Hadi Awang, Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dah memegang jawatan mereka selama ini? Karpal Singh yang sudah berkerusi roda masih teguh kedudukannya dalam Dewan Rakyat? Katakanlah PKR berjaya menjadi kerajaan, sudah tentu Lim Kit Siang, siang-siang dah bermimpi untuk menjadi seorang Menteri juga!
Beliau juga ada menyatakan bahawa UMNO rosak disebabkan adanya politik wang. Ini kerana kebanyakan ahli perniagaan mempunyai banyak wang tetapi tidak dapat meluangkan masa. Cara paling mudah menjaga ahli dan penyokong adalah dengan menghulurkan wang dan memberi sumbangan. Maka, tradisi ini tadi telah berlarutan dan berubah menjadi kewajipan tatkala tibanya musim bertanding. Kalau kita baca balik sejarah UMNO, kekuatan dan perjuangan sebenar datang daripada kekuatan Iman sebagai seorang Muslim dan juga halatuju perjuangan adalah untuk Agama, Bangsa dan Negara.
Kesimpulannya, marilah kita semua bermuhasabah diri. Letakkan perjuangan Agama dihadapan diikuti dengan Bangsa dan Negara. Agama itu isi dan perjuangan itu kulit, rosak kulit bererti musnahlah isinya. Kita perlu mengenal UMNO itu dahulu sebelum ianya mengenali kita. Kita perlu bersatu padu, bekerjasama dan mengukukuhkan ukhwah sesama kita. Kita perlu mencari jalan agar UMNO dikenali bukan kerana parti satu kaum tetapi kerana penaung kepada orang Islam dan bangsa lain yang ada di bumi Malaysia ini. Kita perlu bersedia menerima teguran dan kritikan yang membina. Sebagai penutup, Ikhlas, Berani, Berjuang!
Baca selanjutnya...

06 November 2008

Pusingan ke-2: Yahya lwn Yusuff

Pemuda IKS diberitahu oleh beberapa sumber yang boleh dipercayai bahawa Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu akan diadakan semula. Satu perkara yang telah dijangka. Mungkin ada yang berpandangan dan beranggapan Kem Datuk Yahya Mat Ghani begitu ghairah untuk menang dalam pemilihan kali kedua ini. Dan pada Pemuda IKS, sebenarnya Dato' Yusuff Hamid yang lebih ghairah dan berahi untuk mempertahankan jawatannya.
Pada persidangan yang lalu, Pemuda IKS sentiasa memandang dari satu sudut yang positif ketika keputusan diumumkan. Keputusan telah menunjukkan bahawa kemenangan lebih berpihak kepada barisan kepimpinan Datuk Yahya Mat Ghani setelah kesemua jawatan tertinggi dimenangi oleh calon-calon dari barisan beliau, akan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Jawatan Ketua UMNO Bahagian Batu dimenangi oleh Datuk Yusuff Hamid.
Agak melucukan apabila kesemua calon di dalam barisan kepimpinan Datuk Yahya Mat Ghani 'menang tegak' bak kata orang lama UMNO tetapi ketuanya tidak menang! Bagi sesetengah pihak, mereka mungkin beranggapan bahawa kemenangan dan kekalahan perlu diterima dengan hati yang terbuka, memang benar dan ianya tidak dinafikan. Akan tetapi untuk mencipta kemenangan biarlah secara bermaruah.
Walaupun dihujani perasaan kecewa dan bingung ketika itu, Pemuda IKS tetap akur dengan keputusan yang diumumkan kerana adat bertanding, satu pihak pasti meraih kemenangan dan satu pihak lagi terpaksa akur dengan kekalahan.
Kemudian Pemuda IKS cukup kagum dengan sikap segelintir perwakilan yang dengan penuh bangganya membuat kenyataan telah bahawa mereka telah 'swing' dari menyokong satu pihak ke satu pihak yang lain. Ini menunjukkan sifat keterbukaan di kalangan warga UMNO Bahagian Batu. Hebat! Tahniah diucapkan!
Pemuda IKS mewakili Perwakilan Pemuda Bahagian Batu, G10 berharap semua perwakilan yang terlibat agar menabahkan hati dan menguatkan semangat seperti perjuangan sebelum ini kerana barisan kita akan turun semula untuk memberi undi kepada calon yang akan kita bawa iaitu calon-calon barisan kepimpinan Datuk Yahya Mat Ghani.
Marilah kita bersama-sama mencapai kata sepakat mengundi calon yang benar-benar memperjuangkan UMNO berlandaskan kepentingan agama, bangsa dan negara. Janganlah terlalu memandang ke arah pangkat dan kebendaan tetapi apa yang perlu dan wajib bagi orang Islam berketurunan Melayu ambil kira adalah tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Berkenaan tarikh persidangan, UMNO Bahagian Batu akan mengumumkannya dalam masa terdekat.
Baca selanjutnya...

05 November 2008

Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing

Tepat pada jam 9.30 mlm, bertarikh 05 November 2008, Mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu yang pertama telah dijalankan setelah selesainya Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu pada 19 Oktober 2008 yang lalu. Mesyuarat ini diadakan di Dewan PKNS kerana disitulah tempat bermulanya Saudara Azniee Abdullah, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu mengenali UMNO sewaktu umur beliau dalam lingkungan 18 tahun.

Salah satu objektif mesyuarat ini diadakan adalah untuk melantik 3 orang pegawai atasan serta 3 org AJK tambahan. Setelah diumumkan perlantikan dan penubuhan biro-biro yang akan menjalankan tugas-tugas yang diberi, kesemua Pemuda UMNO yang terlibat bersepakat setuju dengan keputusan itu.

Pemuda IKS yang merupakan Pengerusi Biro Sukan dan Rekreasi ingin mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga pegawai yang dilantik oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu iaitu terdiri daripada Saudara Ahmad Badli selaku Setiausaha, Saudara Norazmi Azilan selaku Ketua Penerangan serta Saudara Syed Khairil selaku Penolong Bendahari. Di sini Pemuda IKS turut mengucapkan taniah kepada semua AJK yang dilantik sebagai pengerusi biro-biro yang dipertanggungjawabkan.
Pemuda IKS menyeru agar semua barisan AJK Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu agar dapat berkerja keras serta berganding bahu dalam melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Kitalah yang akan menentukan imej Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu dengan program-program berbentuk ke arah kecemerlangan dan kegemilangan dengan menitikberatkan soal perjuangan agama, bangsa dan negara.
Baca selanjutnya...

04 November 2008

Dilema Pemuda Batu: Dasar Kepentingan Pergerakan atau Semangat Setiakawan?

Setelah selesainya Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda, dilema terkini yang menghantui Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda serta AJK adalah perlantikan individu yang akan bersama-sama menerajui Pergerakan Pemuda tersebut. Soal pemilihan Setiausaha, Penolong Bendahari dan Ketua Penerangan menjadi kritikal ketika ini kerana ianya bukan sahaja melibatkan masa depan Pergerakan Pemuda, malah mencerminkan kredibiliti seorang Ketua Pemuda dalam memilih orang-orang kuatnya. Ini turut juga melibatkan perlantikan para Pengerusi Biro yang ditubuhkan dalam Pergerakan Pemuda. Adakah Ketua Pemuda akan melantik mereka berdasarkan kepentingan pergerakan atau semangat setiakawan yang sudah terjalin sekian lama?
Pemuda IKS berasa bahawa matlamat utama dalam konsep perlantikan ini adalah untuk melicinkan pentadbiran Pergerakan Pemuda, di mana Ketua Pemuda perlu melantik seseorang individu berdasarkan persefahaman dalam pergerakan dan kemudahan untuk berinteraksi di antara mereka. Dasar utamanya adalah menitikberatkan soal kepentingan Pergerakan Pemuda itu sendiri. Pemuda IKS khuatir jika matlamat ini tersasar, maka pincanglah seagala urusan pentadbiran yang sudah dirangka untuk pelaksanaan.
Oleh itu, keputusan pemilihan hendaklah dilaksanakan dengan penuh bijaksana supaya masa depan Pergerakan Pemuda lebih terjamin. Pemuda IKS berpendapat bahawa individu yang dirasakan berkelayakan tinggi, dengan latar belakang dan pengalaman yang cukup, serta mempunyai rekod yang baik sepanjang penglibatan dengan organsasi, berkemungkinan tinggi akan dilantik untuk memikul tanggungjawab yang bakal diberi.
Akan tetapi dalam setiap keputusan yang diambil, penilaian kita selalunya dipengaruhi oleh elemen-elemen lain dan sebilangan besar Ketua Pemuda hari ini tidak menyedari keadaan ini. Semangat setiakawan yang kuat antara Ketua Pemuda dan sesetengah individu dalam Pergerakan Pemuda menyebabkan mereka berasa serba salah untuk tidak memilih rakan seperjuangan mereka yang sentiasa bersama mereka sejak dari mula penglibatan mereka dalam Pergerakan Pemuda walaupun kemampuan rakan tersebut sering dipersoalkan ataupun tingkah laku negatifnya selalu diperhatikan.
Bukankah ini merupakan pencetus budaya kronisme yang dikecam oleh masyarakat kita selama ini? Menerapkan budaya kronisme bukan sahaja tidak sihat malah boleh membantutkan perkembangan individu mahupun Pergerakan Pemuda itu sendiri. Adalah amat penting untuk para pemimpin hari ini mengikis budaya negatif yang sudah menjadi tradisi dalam Pergerakan Pemuda. InsyaAllah, Pemuda IKS percaya bahawa budaya ini dapat dikekang jika kita membasminya bersama-sama walaupun memerlukan satu jangka masa yang panjang.
Dalam soal ini, seorang Ketua Pemuda haruslah berpendirian teguh, bersikap rasional serta tegas dalam membuat keputusan. Mereka perlu menilai setiap calon-calon yang dikatakan layak untuk jawatan tersebut dengan teliti. Jika mereka gagal melaksanakan tanggungjawab ini dengan betul, maka kredibiliti mereka akan dipersoalkan kelak. Tatkala itu, barulah kita akan nampak agenda sebenar beliau sebagai seorang Ketua Pemuda. Segala janji manis yang ditabur secara automatik akan bertukar menjadi dusta. Adakah beliau memperjuangkan hak masyarakat atau hanya menjaga kepentingan sesetengah golongan sahaja.
Fikirkanlah bersama, hari ini kita mungkin menuding jari pada orang lain di atas kesilapan yang sebenarnya berpunca daripada pelbagai pihak. Tetapi adakah kita yakin bahawa kita tidak akan mengulangi kesilapan yang sama jika suatu hari nanti tiba giliran kita pula untuk berhadapan dengan situasi sama.
Baca selanjutnya...

03 November 2008

Aku kata jangan lawan, kau nak lawan. Kau ni memang degil-lah Belalang.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya calon-calon jawatan Ketua Pemuda UMNO mengadakan debat terbuka untuk menerangkan misi masing-masing. Seorang lagi calon bagi jawatan itu, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menyahut cabaran Khairy untuk berdebat bagi menjelaskan pendirian dan pelan masing-masing. Bagaimanapun seorang lagi calon Ketua Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir menolak untuk diadakan debat itu.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata debat di antara calon Ketua Pemuda UMNO wajar diadakan kerana ia akan memberi peluang kepada rakyat mengenali lebih dekat bakal pemimpin masa depan. Calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, cadangan itu tidak perlu kerana dikhuatiri akan memberikan gambaran yang salah serta kekeliruan masyarakat terhadap UMNO.
Pemuda IKS berasa debat ini perlu bagi memantapkan lagi UMNO itu sendiri khususnya Pergerakan Pemuda. Walaubagaimana pun, Pemuda IKS berpendapat debat ini perlu diadakan secara tertutup kerana khuatir ianya akan menjejaskan imej UMNO dan mampu mewujudkan persepsi negatif pihak pembangkang serta masyarakat umum terhadap dasar perjuangan UMNO. Kita tidak mahu mendedahkan kelemahan kita serta membuka pekong sendiri kepada pihak lain. Pemuda IKS juga mencadangkan debat ini membahaskan isu-isu belia dan golongan muda terhadap pembangunan ekonomi, sistem pendidikan serta perkembangan sosial.
Pemuda IKS tabik hormat kepada Saudara Khairy Jamaluddin yang mencadangkan debat ini dan Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang menyahut cabaran ini. Walaupun Dato' Mukhriz Mahathir membantah cadangan ini, Pemuda IKS percaya beliau mempunyai agenda dan pendirian tersendiri bagi menangani apa jua cabaran yang ditempuhi. Pemuda IKS berharap sangat beliau akan terpilih menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di persidangan akan datang.
Alangkah baiknya jika konsep berdebat ini diamalkan di peringkat akar umbi. Dapatlah para perwakilan bahagian serta ahli-ahli UMNO Bahagian dapat menilai sendiri kewibawaan, penyataan visi serta wawasan pemimpin mereka. Konsep ini juga sedikit sebanyak dapat mengikis masalah politik wang yang dikatakan semakin menular di kalangan pemimpin atasan bahagian. Berharap konsep ini dapat diterapkan dalam UMNO Bahagian Batu supaya pemilihan akan datang lebih telus dan nyata.
Baca selanjutnya...

02 November 2008

Kisah Pelik Tapi Benar

Suasana di dalam Dewan Tun Hussein Onn, PWTC menjadi riuh rendah apabila keputusan undian para perwakilan diumumkan bagi membentuk barisan kepimpinan UMNO Bahagian Batu untuk penggal akan datang. Ini kerana kesemua calon-calon dari barisan Datuk Yahya Mat Ghani yang bertanding menang besar! Tetapi sejurus selepas keputusan untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Batu diumumkan, dewan menjadi sunyi sepi kerana ramai terkejut dengan keputusan undian para perwakilan.
Sebahagian besar para perwakilan kemudiannya dilihat berpusu-pusu keluar dari dewan untuk bertemu calon pilihan mereka walaupun persidangan masih belum ditangguhkan lagi. Suasana majlis menjadi hambar kerana hanya tinggal beberapa kerat sahaja bilangan perwakilan yang menanti sehingga persidangan selesai ditangguhkan.
Ramai yang mengalirkan air mata tatkala bertemu Datuk Yahya Mat Ghani selepas keputusan diumumkan. Sejumlah kecil perwakilan pula bertemu Datuk Yusuf Hamid untuk mengucapkan tahniah kepada beliau. Barisan perwakilan Datuk Yahya Mat Ghani seterusnya pergi meninggalkan persidangan tersebut untuk menikmati makan malam di restoran berdekatan.
Tahniah diucapkan kepada Kekanda Ramlan Salleh, Ketua UMNO Cawangan Taman IKS kerana berjaya merangkul jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu dengan jumlah sebanyak 157 undi. Lawannya, saudara Johari Md Isa hanya mampu meraih 94 undi dalam pemilihan kali ini. Jumlah perwakilan adalah 251 bererti tiada undi rosak dalam keputusan ini.
Tahniah kepada Datuk Yusuf Hamid, Ketua UMNO Cawangan Desa Batu Muda kerana berjaya mempertahankan jawatannya dengan meraih sebanyak 128 undi selaku Ketua UMNO Bahagian Batu untuk penggal akan datang. Datuk Yahya Mat Ghani yang merupakan calon pilihan hanya berjaya meraih 123 undi dengan tiada undi rosak.
Keputuan persidangan ini turut juga berakhir dengan UMNO Bahagian Batu mencalonkan Dato' Sri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO Malaysia dan Datuk Seri Ali Rustam selaku Timbalan Presiden UMNO Malaysia. 5 orang dari perwakilan G7 adalah dari barisan kepimpinan Datuk Yahya Mat Ghani manakala dari barisan Datuk Yusuf Hamid cuma 2 orang perwakilan.
Banyak spekulasi di kalangan perwakilan serta pemerhati yang hadir terhadap keputusan persidangan kali ini. Pemuda IKS diberitahu seramai 132 orang perwakilan telah berjanji akan mengundi barisan kepimpinan Datuk Yahya Mat Ghani pada pertemuan mereka yang terakhir sebelum menjelang tarikh persidangan Sabtu lepas. Tetapi keputusan menampakkan bahawa terdapat seramai 9 orang perwakilan di kalangan barisan yang dibentuk oleh Datuk Yahya Mat Ghani sudah "masuk angin" ataupun giat "bermain dua kolam".
Adalah tidak logik jika kesemua barisan calon di sebelah Datuk Yahya Mat Ghani menang besar tetapi jawatan nombor satu UMNO Bahagian Batu dimenangi oleh calon dari pihak sebelah sana. Ketika Pemuda IKS bertemu dengan Datuk Yahya Mat Ghani yang dilihat tenang menerima keputusan tersebut menyatakan, "Kita selalu mimpikan yang indah. Tapi kalau ini kenyataannya, kita nak buat macam mana?". Beliau juga memberitahu para perwakilan yang mengalirkan air mata di atas kekalahan beliau supaya bersabar dan menerima keputusan ini sebagai ketentuan dari Ilahi.
Kepada Datuk Yahya Mat Ghani, jangan berhenti memperjuangkan kebenaran. Sesungguhnya perjuangan yang tulus dan ikhlas akan diredhai Allah s.w.t. Pemuda IKS ingin Datuk tahu bahawa Pemuda IKS akan sentiasa menyokong perjuangan Datuk tidak kira sebesar mana dugaan yang perlu ditempuhi. Pemuda IKS akan turut membantu melaksanankan setiap pelan tidakan yang telah Datuk strukturkan. Canailah kami sebagai anak buah Datuk kerana sesungguhnya, UMNO Cawangan Taman IKS tidak akan wujud tanpa usaha dan pengorbanan Datuk selama ini.
Ketua Penerangan Pemuda IKS, saudara Shafril Yizmier Mohd Yusoff pula menyatakan, "This is the real game. Mesti ada orang swing last minit. Kita terima sahajalah." Begitulah komen beliau terhadap keputusan persidangan kali ini. Beliau yang turut terkejut dengan keputusan undian menerimanya dengan hati yang terbuka. Terima kasih diucapkan kepada para ahli Pemuda IKS yang turut hadir menyokong persidangan kali ini.
Saudara Mahadhir Sulaiman, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Segambut yang turut hadir di persidangan ini sebagai pemerhati, juga terkejut apabila mendengar keputusan persidangan kali ini lalu menyatakan, "Inilah realiti politik. Akan tetapi dinasihatkan supaya tidak melakukan post mortem terhadap keputusan ini. Ia akan memecahbelahkan UMNO Bahagian Batu. Terimalah dengan hati yang terbuka."
Pemuda IKS berharap dengan pembentukan barisan kepimpinan UMNO Bahagian Batu yang baru ini dapat membawa kita semua maju ke hadapan. Mari kita bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan misi kita penggal ini, merampas kembali kerusi Parlimen Batu dari pihak pembangkang. Berharap juga UMNO Bahagian Batu dapat meningkatkan kedudukan orang Melayu dari segi ekonomi, pendidikan dan sosial. Selamat berjuang!
Baca selanjutnya...

01 November 2008

Selamat Bersidang kepada Perwakilan UMNO Bahagian Batu

Jutaan terima kasih kepada para perwakilan G2 serta G7 yang banyak memberi sokongan moral kepada barisan G10 Pemuda Bahagian Batu yang terpilih tempoh hari. Dengan pembentukkan barisan baru ini Insya-Allah kekuatan lebih banyak memihak kepada kepimpinan Datuk Yahya Mat Ghani. Barisan ini memerlukan kekuatan dan semangat juang yang kental dan utuh.
Kurang dari 24 jam lagi para perwakilan Pemuda Bahagian Batu (G10) akan berjuang bagi memastikan barisan baru yang berusia 2 minggu ini akan memberi undi kepada barisan kepimpinan Datuk Yahya Mat Ghani serta Kekanda Ramlan Salleh.
Pemuda IKS tahu barisan kepimpinan Datuk Yusuf Hamid juga mempunyai kekuatan tersendiri tetapi tolong serahkan soal pemilihan kepada kepercayaan para perwakilan yang akan mengundi. Tolong jangan terlalu nampak terdesak kerana kepimpinan Datuk selama ini mungkin tidak boleh diterima pakai lagi diatas sebab-sebab tertentu.
Oleh itu, biarlah persidangan bahagian kali ini dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas. Adat pertandingan, pasti ada yang menang dan ada yang kalah tetapi jangan kerana jawatan, kita bercakaran sesama sendiri. Keadaan sebegini akan mencalarkan imej UMNO Bahagian Batu kerana bukan sahaja para pewakilan yang hadir, tetapi saudara-saudara seperjuangan kita dari bahagian-bahagian lain juga turut hadir. Kemungkinan pihak media tempatan juga akan berada bersama-sama kita untuk liputan khas di persidangan itu nanti.
Biarlah pemimpin di Bahagian Batu ini dipilih oleh para perwakilan berdasarkan pegangan mereka. Bukan kerana dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu. Kita ingin menjaga dan mempertahankan hak-hak orang Melayu Bahagian Batu di masa hadapan. Pemuda IKS mengucapkan semoga selamat bersidang kepada kedua-dua barisankepimpinan Datuk Yusuf Hamid dan Datuk Yahya Mat Ghani. Selamat menjayakan program Bahagian Batu yang telah diamanatkan oleh UMNO Wilayah Persekutuan. Selamat berjuang!
Baca selanjutnya...

Agenda Pergerakan

Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu WP dijadualkan berlangsung pada 01/11/2008 bermula pada pukul 8.30 pagi bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC. Berharap semua ahli Pemuda IKS dapat hadir untuk memberi sokongan pada majlis tersebut.

Saudara Mohd Nasrul Hadi Haji Kamaluddin dan pasangannya, saudari Wan Nooriah Wan Abdullah menjemput semua ahli Pemuda IKS ke Majlis Perkahwinannya yang akan berlangsung pada 01/11/08 di Dewan Masjid Al-Ghazali, Bandar Sri Manjalara, Kepong. Majlis dijadualkan bermula pada pukul 12.00 ptg - 4.00 ptg.


Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Taman Koperasi Polis 2, saudara Mohd Saifudin Yaakob dan pasangannya, saudari Hazrina Hasni menjemput semua ahli Pemuda IKS ke Majlis Perkahwinannya yang akan berlangsung pada 01/11/08 di Pusat Komuniti Taman Koperasi Polis Fasa 2, Kuala Lumpur. Majlis dijadualkan berlangsung pada pukul 12.00 ptg - 4.00 ptg.
Sekian, terima kasih. Apa jua perubahan akan diberitahu kelak.
Baca selanjutnya...