Matlamat penubuhan laman blog ini adalah sebagai medan perkongsian dan perbincangan mengenai isu-isu semasa serta pusat saluran maklumat terkini berkenaan perkembangan pergerakan Pemuda IKS. Setiap ulasan yang dibuat mengenai apa jua topik hendaklah dilaksanakan secara matang dan profesional. Pemuda IKS akan menapis sebarang ulasan yang tidak bernas dan tidak membina untuk menjaga nama baik laman blog ini. Terima kasih di atas kerjasama semua pengunjung.

Peti Suara


20 November 2008

Raja Dr. Nazrin Shah: Terima Adat Tempatan

Amat penting bagi sesebuah komuniti imigran di sesebuah negara menghormati dan menerima adat, sejarah serta sistem pemerintahan yang diamalkan di negara mereka berhijrah dan menetap sepanjang masa.
Mereka sepatutnya mempunyai garis sempadan dalam mempersoalkan sesuatu perkara yang membabitkan antara hak seseorang individu untuk memilih cara hidup pilihannya di negara mereka berhijrah atau keperluan untuk mewujudkan sebuah masyarakat bersatu padu.
Dalam membuat pilihan itu, masyarakat imigran yang datang daripada pelbagai budaya dan adat perlu berpegang kepada pepatah ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'. Anggapan bahawa beban tanggungjawab hanya terletak di bahu negara penerima mungkin tidak tepat. Malaysia merupakan contoh terbaik bagaimana diaspora atau penghijrahan besar-besaran orang Cina, India dan kaum-kaum lain yang membawa kepada sebuah bangsa yang makmur dan majmuk.
Hari ini semua mereka menjadi sebahagian daripada landskap negara ini dan pada masa yang sama, warga Malaysia turut berhijrah ke serata dunia untuk meneroka pelbagai bidang. Proses integrasi di antara golongan imigran di negara yang mereka berhijrah berlaku dari semasa ke semasa dan melibatkan banyak generasi.
Secara umum, kemahuan dan keperluan imigran di mana-mana negara adalah sama iaitu makanan, wang, pendidikan untuk anak-anak dan kehidupan yang lebih bermakna, selain rumah dan perlindungan pada hari tua. Namun, generasi imigran yang seterusnya akan mengimpikan identiti dan semangat kekitaan yang lebih mendalam. Mereka juga mahu diserapkan dalam komuniti yang lebih besar dan tidak dilayan sebagai orang asing.
Usaha sesetengah kerajaan negara Komanwel untuk memperkenalkan polisi yang pelbagai dalam perkhidmatan awam adalah pendekatan yang tepat dan responsif. Dalam sebuah negara yang mempunyai budaya majmuk, masyarakat daripada pelbagai budaya perlu dibenarkan hidup bebas tanpa dipaksa melakukan perkara yang mereka tidak mahu.
Kehidupan yang demokrasi bermakna seseorang itu boleh memilih untuk lebih menyesuaikan diri dalam masyarakat, diserap atau diterima dalam masyarakat atau tidak menunjukkan sebarang minat. Pada masa yang sama, keperluan untuk mewujudkan masyarakat yang berkongsi nilai dan kepentingan tetap menjadi keutamaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan