Matlamat penubuhan laman blog ini adalah sebagai medan perkongsian dan perbincangan mengenai isu-isu semasa serta pusat saluran maklumat terkini berkenaan perkembangan pergerakan Pemuda IKS. Setiap ulasan yang dibuat mengenai apa jua topik hendaklah dilaksanakan secara matang dan profesional. Pemuda IKS akan menapis sebarang ulasan yang tidak bernas dan tidak membina untuk menjaga nama baik laman blog ini. Terima kasih di atas kerjasama semua pengunjung.

Peti Suara


04 November 2008

Dilema Pemuda Batu: Dasar Kepentingan Pergerakan atau Semangat Setiakawan?

Setelah selesainya Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda, dilema terkini yang menghantui Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda serta AJK adalah perlantikan individu yang akan bersama-sama menerajui Pergerakan Pemuda tersebut. Soal pemilihan Setiausaha, Penolong Bendahari dan Ketua Penerangan menjadi kritikal ketika ini kerana ianya bukan sahaja melibatkan masa depan Pergerakan Pemuda, malah mencerminkan kredibiliti seorang Ketua Pemuda dalam memilih orang-orang kuatnya. Ini turut juga melibatkan perlantikan para Pengerusi Biro yang ditubuhkan dalam Pergerakan Pemuda. Adakah Ketua Pemuda akan melantik mereka berdasarkan kepentingan pergerakan atau semangat setiakawan yang sudah terjalin sekian lama?
Pemuda IKS berasa bahawa matlamat utama dalam konsep perlantikan ini adalah untuk melicinkan pentadbiran Pergerakan Pemuda, di mana Ketua Pemuda perlu melantik seseorang individu berdasarkan persefahaman dalam pergerakan dan kemudahan untuk berinteraksi di antara mereka. Dasar utamanya adalah menitikberatkan soal kepentingan Pergerakan Pemuda itu sendiri. Pemuda IKS khuatir jika matlamat ini tersasar, maka pincanglah seagala urusan pentadbiran yang sudah dirangka untuk pelaksanaan.
Oleh itu, keputusan pemilihan hendaklah dilaksanakan dengan penuh bijaksana supaya masa depan Pergerakan Pemuda lebih terjamin. Pemuda IKS berpendapat bahawa individu yang dirasakan berkelayakan tinggi, dengan latar belakang dan pengalaman yang cukup, serta mempunyai rekod yang baik sepanjang penglibatan dengan organsasi, berkemungkinan tinggi akan dilantik untuk memikul tanggungjawab yang bakal diberi.
Akan tetapi dalam setiap keputusan yang diambil, penilaian kita selalunya dipengaruhi oleh elemen-elemen lain dan sebilangan besar Ketua Pemuda hari ini tidak menyedari keadaan ini. Semangat setiakawan yang kuat antara Ketua Pemuda dan sesetengah individu dalam Pergerakan Pemuda menyebabkan mereka berasa serba salah untuk tidak memilih rakan seperjuangan mereka yang sentiasa bersama mereka sejak dari mula penglibatan mereka dalam Pergerakan Pemuda walaupun kemampuan rakan tersebut sering dipersoalkan ataupun tingkah laku negatifnya selalu diperhatikan.
Bukankah ini merupakan pencetus budaya kronisme yang dikecam oleh masyarakat kita selama ini? Menerapkan budaya kronisme bukan sahaja tidak sihat malah boleh membantutkan perkembangan individu mahupun Pergerakan Pemuda itu sendiri. Adalah amat penting untuk para pemimpin hari ini mengikis budaya negatif yang sudah menjadi tradisi dalam Pergerakan Pemuda. InsyaAllah, Pemuda IKS percaya bahawa budaya ini dapat dikekang jika kita membasminya bersama-sama walaupun memerlukan satu jangka masa yang panjang.
Dalam soal ini, seorang Ketua Pemuda haruslah berpendirian teguh, bersikap rasional serta tegas dalam membuat keputusan. Mereka perlu menilai setiap calon-calon yang dikatakan layak untuk jawatan tersebut dengan teliti. Jika mereka gagal melaksanakan tanggungjawab ini dengan betul, maka kredibiliti mereka akan dipersoalkan kelak. Tatkala itu, barulah kita akan nampak agenda sebenar beliau sebagai seorang Ketua Pemuda. Segala janji manis yang ditabur secara automatik akan bertukar menjadi dusta. Adakah beliau memperjuangkan hak masyarakat atau hanya menjaga kepentingan sesetengah golongan sahaja.
Fikirkanlah bersama, hari ini kita mungkin menuding jari pada orang lain di atas kesilapan yang sebenarnya berpunca daripada pelbagai pihak. Tetapi adakah kita yakin bahawa kita tidak akan mengulangi kesilapan yang sama jika suatu hari nanti tiba giliran kita pula untuk berhadapan dengan situasi sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan