Kenyataan Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe telah mengundang kontroversi. Pertama, berdasarkan sejarah kata beliau, orang Melayu adalah juga pendatang sama seperti orang Cina dan India. Kedua, dengan nada sinis beliau menyindir UMNO bahawa parti Gerakan selama ini berada dalam telunjuk UMNO. Gerakan tidak mempunyai suara dalam menentukan keputusan kerajaan.
Publisiti murahan jelas menunjukkan bahawa beliau seolah-olah pakar dalam bidang sejarah dan menarik perhatian serta sokongan orang Cina yang telah kecewa dengan Gerakan. Saya tidak pasti apakah latar belakang sebenar kelulusan Lian Hoe sehingga menyebabkan kenyataan seperti ini dikeluarkan.
Saya mungkin dapat menerima serba sedikit pendapat ini jika beliau adalah pakar sejarah. Jika tidak, mungkin ada agenda tersembunyi yang perlu kita lihat secara serius.
Ini kerana selepas pilihan raya umum baru-baru ini, ada beberapa parti komponen Barisan Nasional cuba menggunakan kesempatan ini untuk mengugut UMNO dan kerajaan. Mereka tahu, UMNO kini berada dalam kedudukan yang agak lemah. UMNO memerlukan sokongan parti-parti komponen bukan Melayu untuk memerintah. Justeru, peluang ini digunakan untuk mencapai hasrat yang sekian lama terpendam, termasuk mempertikaikan hak-hak istimewa orang Melayu.
Lian Hoe perlu sedar bahawa kemenangan beliau di Parlimen Gerik dalam pilihan raya lalu adalah hasil sokongan pengundi Melayu UMNO. Jika kerusi Gerik itu tidak diberikan kepada Gerakan dan UMNO tidak mengundi beliau, tidak mungkin ada Lian Hoe pada hari ini sebagai Timbalan Menteri Penerangan. Itupun beliau masih tidak bersyukur dan amat kiasu.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada sebahagian orang Cina tidak dapat menerima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu atau Malay Polity. Perlu diingatkan bahawa sejarah sistem kenegaraan Melayu bermula dengan perkataan 'Melayu' atau 'Tanah Melayu' itu sendiri yang bermaksud wilayah dan kepulauan di rantau ini.
Nama-nama ini terkenal di kalangan negara China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma- Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis).
Hujah ini menunjukkan bahawa dari abad ke-6 hingga ke-10, perkataan Melayu adalah nama tempat dan bukannya nama khusus bagi rumpun bangsa. Hanya pada abad ke-11 barulah perkataan Melayu mulai dipakai bagi menamakan rumpun bangsa.
Ringkasnya, istilah-istilah Tanah Melayu, Melayu, Malaysia dan Malaya adalah jelas merujuk kepada negeri-negeri Melayu atau Tanah Melayu atau Land of the Malays. Fakta ini menunjukkan bahawa Tanah Melayu (Malaysia) adalah kepunyaan satu bangsa yang bernama Melayu. Namun, kedatangan penjajah British telah merubah peta politik Tanah Melayu.
Kalau dahulu, hubungan antara antara China dan Tanah Melayu hanya melibatkan perdagangan dua hala sahaja, tanpa penghijrahan besar-besaran. Namun, setelah penjajahan berlaku, maka bermulalah episod kemajmukan masyarakat di negara ini berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu.
Orang Cina yang mendatang dapat menjadi warganegara disebabkan oleh proses akomodasi orang Melayu dalam memberikan kewarganegaraan secara terbuka kepada yang berhak tanpa mengira latar belakang.
MOHD. RIDHUAN TEE ABDULLAH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan