Matlamat penubuhan laman blog ini adalah sebagai medan perkongsian dan perbincangan mengenai isu-isu semasa serta pusat saluran maklumat terkini berkenaan perkembangan pergerakan Pemuda IKS. Setiap ulasan yang dibuat mengenai apa jua topik hendaklah dilaksanakan secara matang dan profesional. Pemuda IKS akan menapis sebarang ulasan yang tidak bernas dan tidak membina untuk menjaga nama baik laman blog ini. Terima kasih di atas kerjasama semua pengunjung.

Peti Suara


30 September 2008

Enam Ketua Bahagian UMNO Wilayah Persekutuan Tepati Ramalan Menang Tanpa Bertanding

KUALA LUMPUR -- Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique menepati ramalan mengetuai senarai enam Ketua Bahagian Umno di Wilayah Persekutuan yang menang tanpa bertanding.Zulhasnan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan dan Menteri Wilayah Persekutuan, menang tanpa bertanding sebagai Ketua Umno Bahagian Setiawangsa setelah menerima mandat daripada kesemua 48 cawangan dalam bahagian itu.
Turut menang tanpa bertanding ialah Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Al Habshee yang mendapat mandat daripada kesemua 31 cawangan dalam bahagian itu.Ketua bahagian lain yang menang tanpa bertanding ialah Ketua Umno Bahagian Kepong Senator Datuk Ridhuan Hamid, Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang Datuk Seri Azim Zabidi, Ketua Umno Bahagian Titiwangsa Datuk Seri Suleiman Mohamad dan Ketua Umno Bahagian Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Sementara itu, tujuh bahagian menyaksikan saingan yang sengit dengan Ketua Umno Bahagian Segambut Senator Datuk Kamaruddin Ambok akan ditentang oleh Bendahari Umno Segambut Hadi Mad Zam manakala di Wangsa Maju, Pemangku Ketua Bahagian Datuk Zainal Nazeri Zainuddin pula akan dicabar oleh Naib Ketua bahagian Datuk Mohd Shafie Abdullah.
Saingan juga berlaku di bahagian Batu di mana penyandang Ketua Bahagian Datuk Yusuf Hamid akan berdepan Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Batu, Yahya Mat Ghani atau lebih dikenali sebagai "Abas Batu".
Ketua Umno Seputeh Datuk Hisham Abdul Majid pula akan berdepan Ketua Umno Cawangan Happy Utara Mustapha Kamal manakala di Lembah Pantai pula wujud saingan tiga penjuru. Pemangku Ketua Bahagian Lembah Pantai Yusri Ahmad akan berdepan dengan bekas Ketua Bahagian Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ahmad Zahran Ibrahim.
Ketua Umno Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman pula akan ditentang oleh Anggota Parlimen Labuan Datuk Yusuf Mahal yang juga merupakan Timbalan Ketua Bahagian itu.
Di Bandar Tun Razak pula, Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Datuk Mokhtar Samad akan menentang Datuk Amil Salleh yang telah dibebaskan daripada penggantungan oleh Lembaga Disiplin Umno.
Penampilan semula bekas Anggota Parlimen Titiwangsa Datuk Astaman Abdul Aziz yang dibebaskan daripada penggantungan Lembaga Disipilin parti atas kesalahan politik wang turut mencuri perhatian di Wilayah Persekutuan.Beliau yang juga bekas Ketua Umno Wangsa Maju bertanding jawatan Timbalan Ketua bahagian itu pada pemilihan kali ini.
Sayap Pemuda pula akan menyaksikan persaingan sengit di Segambut, Wangsa Maju, Titiwangsa, Setiawangsa, Batu dan Putrajaya manakala Puteri juga akan menyaksikan persaingan yang sengit khususnya di Seputeh, Batu, Wangsa Maju, Lembah Pantai dan Setiawangsa. Zulhasnan menasihati semua pihak yang bertanding supaya dapat mematuhi perlembagaan parti dan bertanding dalam suasana yang harmoni serta sihat.
"Pertandingan di tujuh bahagian untuk jawatan Ketua Bahagian serta bagi jawatan-jawatan lain menunjukkan Umno mengamalkan semangat demokrasi yang kuat demi memperkukuhkan lagi parti," kata beliau kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai perkembangan itu.-- BERNAMA
Baca selanjutnya...

29 September 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Pemuda IKS mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam, khususnya kepada pelayar laman blog pemudaiks.blogspot.com. Alhamdulillah, sekali lagi dapat kita bersama-sama meraikan hari kebesaran ini setelah sebulan menjalankan ibadah puasa.
Disamping bergembira bersama keluarga, Pemuda IKS harap kita akan teruskan tradisi kunjung mengunjung ke rumah-rumah terbuka untuk mengeratkan lagi silaturrahim di antara kita, terutama sekali dengan rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam.
Semoga di hari yang gembira ini hubungan kita sebagai rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara yang tercinta ini akan bertambah erat. Pemuda IKS akan mengumumkan majlis rumah terbuka bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam masa terdekat ini.
Kepada yang akan menyambut Aidilfitri di kampung, berhati-hatilah ketika memandu dan Pemuda IKS mendoakan perjalanan pulang yang selamat. Sekali lagi Pemuda IKS ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.
Baca selanjutnya...